Taksub artis rosak remaja
Selebriti, sistem keluarga faktor nilai golongan muda merosot: Kajian
LONDON: Sikap mementingkan kebendaan, taksub kepada selebriti dan keruntuhan sistem kekeluargaan adalah faktor menyumbang kepada kemerosotan nilai golongan muda.
Satu laporan menyatakan, remaja kini mempelajari mesej tidak sihat seperti keperluan memiliki tubuh badan sempurna dan menilai kejayaan dari segi memiliki barang berbentuk material. Pada masa sama, ibu bapa melayan anak seperti 'hak milik' dan tidak begitu menghargai mereka atau kehidupan berkeluarga sepenuhnya.
Laporan berdasarkan siasatan oleh badan kebajikan Children's Society, mendapati dua pertiga daripada 1,176 orang dewasa yang ditanya menyifatkan nilai hidup dipegang remaja hari ini tidak sebaik seperti mereka ketika muda.
Tujuh daripada 10 responden berkata, nilai kemasyarakatan di kalangan golongan itu pada hari ini tidak sesihat dulu. Lebih separuh berasa ada lebih banyak konflik di antara dewasa dan kanak-kanak hari ini.
Cuma satu pertiga berasa tingkah laku remaja di kawasan kejiranan mereka kebanyakannya positif. Pakar yang memberikan bukti kepada badan siasatan berkata, keluarga adalah pusat pembentukan nilai, selain sekolah dan masyarakat.
Mereka menekankan bahawa ibu bapa perlu menetapkan sempadan jelas bagi anak mereka untuk membantu golongan itu membezakan yang baik dan buruk. Golongan remaja juga perlu mempunyai peluang membangunkan keupayaan sendiri.
Namun, pakar memberi amaran pandangan masyarakat mengenai remaja 'selalunya negatif' dengan golongan dewasa menganggap mereka sebagai 'masalah yang perlu diselesaikan'.
"Golongan profesional menunjukkan remaja kerap dinilai sebagai hak milik ibu bapa mereka, berbanding individu yang perlu mendapat perlindungan dan penghormatan sama seperti orang lain," menurut laporan.
Beberapa pakar mengadu mengenai 'penekanan ketara yang diberikan ke atas kekayaan material dan pencapaian, berbanding gaya hidup sederhana dan hubungan rapat.'
Laporan menyebut: "Profesional yang memberi reaksi kepada siasatan menegaskan remaja mempelajari kebanyakannya daripada orang dewasa dan meluahkan kebimbangan mengenai bagaimana aliran tertentu dalam masyarakat memberi kesan kepada nilai yang dipelajari golongan muda.
"Sikap mementingkan material, taksub dengan selebriti dan kemerosotan sokongan daripada masyarakat dan keluarga semuanya disifatkan sebagai faktor negatif."
Pakar turut meluahkan kebimbangan mengenai 'mesej cetek' yang diperoleh golongan berkenaan menerusi media dengan seorang daripadanya berkata, ada 'tekanan untuk menjadi sempurna' dari segi bentuk tubuh dan kejayaan 'dinilai dari segi pemilikan harta benda.' � Agensi
No comments:
Post a Comment