Photobucket

Friday, March 6, 2009

KWSP Lancar Polisi Anti-Fraud Dan Pendedahan Maklumat Untuk Cegah Salah Laku



Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tadbir urus korporat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melancarkan Polisi Anti-Fraud dan Pendedahan Maklumat (Whistleblowing) bagi mencegah dan mengesan kegiatan salah laku dengan lebih berkesan.

“Melalui pengenalan Polisi Anti-Fraud ini, KWSP berusaha untuk mencapai tahap ketelusan dan tanggungjawab korporat yang lebih tinggi,” kata Tan Sri Samsudin Osman, Pengerusi KWSP. “Langkah ini juga jelas menunjukkan pendirian toleransi sifar KWSP terhadap sebarang perlakuan fraud.”

Sebagai sokongan kepada Polisi Anti-Fraud itu, KWSP turut memperkenalkan Polisi Pendedahan Maklumat bagi melindungi mana-mana individu yang mahu melaporkan perlakuan fraud dan salah laku. Identiti pendedah maklumat akan dilindungi dan mereka boleh berurusan terus dengan autoriti berkaitan berdasarkan kepada kedudukan dalam KWSP orang yang disyaki melakukan kesalahan itu.

“Polisi Pendedahan Maklumat ini adalah perlu kerana saya percaya tidak ramai orang yang sanggup membuat laporan jika berhadapan dengan risiko tindak balas negatif,” tambah Tan Sri Samsudin. “Polisi ini dapat menjamin kerahsiaan yang diperlukan dalam kes-kes yang dilaporkan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laporan fraud tersebut.”

Di bawah Polisi Pendedahan Maklumat ini, laporan boleh dibuat terhadap mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan KWSP, termasuk Ahli Lembaga atau Ahli Panel Pelaburan sekiranya disyaki melakukan fraud atau salah laku. Sebarang kes fraud yang dilaporkan akan disiasat menurut Akta KWSP 1991 dan undang-undang lain yang berkaitan.

“Polisi Anti-Fraud dan Pendedahan Maklumat ini memberikan kuasa kepada kakitangan dan pengurusan KWSP untuk mendedahkan sebarang perlakuan fraud dan mengambil tindakan terhadap salah laku yang mungkin berlaku dalam operasi KWSP. Ia selari dengan usaha untuk mengekalkan standard tertinggi dalam tadbir urus korporat bagi membolehkan perkhidmatan lebih berkesan diberikan kepada semua ahli,” kata Tan Sri Samsudin.

No comments: