Photobucket

Thursday, March 12, 2009

Tabiat suka bergaduh



<
- Gambar hiasan


Setiap hari, Aiman Rashidi, 6 tahun dan Amir, 5, sering membuatkan ibu bapanya pening kepala dan stres dengan perangai yang tidak mahu mengalah dengan barang-barang permainan yang mereka miliki.

Ada sahaja yang menjadikan dua beradik ini bergaduh, hanya kerana untuk merebutkan permainan. Bukan setakat berbalas-balas perkataan yang menyakitkan hati masing-masing, malah turut bergaduh menggunakan kaki dan tangan mereka.

Bagi ibu bapa dua beradik ini, kerenah ini benar-benar membuatkan kesabaran mereka tercabar. Rasa ringan sahaja tangan untuk mencubit dan memukul mereka. Namun kasihan juga kerana kedua-duanya masih kecil dan belum memahami erti bertolak ansur dan mengalah.

Situasi pergaduhan adik-beradik ini adalah perkara biasa dalam proses tumbesaran. Selain bergaduh dengan adik-beradik, mereka turut melakukan kepada rakan-rakan.

Justeru itu sebagai ibu bapa, beberapa panduan boleh diikuti bagi mengatasi tabiat buruk ini supaya tidak berulang lagi atau sering berlaku.

Bimbingan

Ibu bapa perlu membimbing dan mendidik anak erti kasih sayang dan menghormati antara satu sama lain. Anak yang menghormati dan menyayangi orang lain tidak akan bergaduh atau menimbulkan pergaduhan.

Mengalah

Anak perlu dididik erti mengalah. Mengalah bukan sifat lemah tetapi mendidik anak mementingkan orang lain dan sentiasa bertolak ansur.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu menerangkan kebaikan sifat mengalah dan kesan keburukan mementingkan diri sendiri kepada anak-anak ketika mereka masih kecil lagi.

Elakkan mempunyai teman nakal

Kadangkala pergaduhan dimulakan oleh kanak-kanak lain. Walaupun berkali-kali seseorang anak tidak mahu bergaduh, namun setelah diasak dan dicabar beberapa kali di samping telah dipukul oleh teman, maka anak kita akan bergaduh kerana mahu mempertahankan diri.

Justeru, ibu bapa perlu menasihatkan anak agar menjauhi teman yang bersikap suka bergaduh, mementingkan diri sendiri dan tiada sifat toleransi.

Beritahu anak-anak bahawa berteman dengan orang yang suka bergaduh hanya akan merugikan diri sendiri dan membawa banyak masalah.

Hukuman

Hukuman adalah jalan terakhir jika anak masih degil dan suka menimbulkan pergaduhan. Namun ibu bapa jangan memukul anak yang di bawah umur 10 tahun. Pelbagai alternatif lain boleh dilakukan selain rotan dan penderaan.

Ibu bapa boleh menghukum dengan enggan membelikan permainan atau membeli makanan yang disukai anak. Sifat anak yang tidak mahu terlepas mainan dan makanan kegemaran mungkin mengubah sikap anak.

Hukuman perlu berunsur mendidik anak, bukan mendera. Kebanyakan ibu bapa merotan dan memukul anak hingga mencederakan. Ini akan membawa kepada kesan negatif dalam jiwa kanak-kanak. Justeru elakkan segala hukuman yang mendera anak-anak.

No comments: