Malapetaka jika brek tidak berfungsi dengan baik
KETIKA memandu untuk perjalanan jauh dengan kelajuan lebih 100
kilometer sejam, selain tayar, satu lagi komponen kereta yang perlu difikir ialah brek.
Ini kerana brek yang tidak berfungsi atau ‘tak makan’ boleh membahayakan keselamatan.
Namun sewaktu memijak brek, tiba-tiba anda terasa seolah-olah sedang
memijak benda yang amat kenyal, tetapi brek tidak dapat dilakukan dengan
sempurna. Jika hal ini terjadi, pemeriksaan perlu dilakukan.
Ada pelbagai sebab mengapa keadaan sedemikian berlaku termasuk wujud
udara dalam saluran minyak brek, sekatan wap, kebocoran atau
kekurangan minyak brek, penyelarasan injak brek kurang tepat, gelendong
brek sudah retak atau lubang saluran tersumbat dan bolt pemegang selindernya longgar.
Periksa jika wujud udara dalam saluran minyak brek. Dalam kebanyakan
kenderaan, jarak antara lantai dan injak brek (ketika dipijak penuh) akan
bertambah selepas injak dipijak beberapa kali. Sebab itu, brek berkesan.
Namun demikian, dalam sesetengah keadaan, jarak itu tidak bertambah
manakala pemandu akan berasa seolah-olah memijak belon. Gejala ini
menunjukkan ada udara dalam saluran minyak brek.
Periksa juga sama ada gelendong brek sudah retak, paip minyak brek usang atau bolt pemegang silinder longgar. Jika keadaan itu terjadi, jarak membrek akan bertambah dan kenderaan tidak dapat dihentikan dengan
selamat.
Apabila berdepan keadaan begini, hentikan kenderaan, buka tutup bonet,
dan lakukan pemeriksaan. Mula-mula periksa seluruh komponen sistem
brek, mungkin ada kerosakan yang dapat dilihat.
Minta bantuan rakan untuk memijak injak brek beberapa kali sepanjang
pemeriksaan. Goyangkan paip sambungan dan sebagainya. Bagi bahagian
yang tidak dapat dilihat, rasa dengan tangan.
Periksa juga adakah kerosakan terjadi disebabkan sekatan wap. Sekatan wap berlaku ketika kenderaan sedang bergerak.
Contohnya, walaupun brek pada mulanya baik, keberkesanannya boleh
berkurang kerana injak brek sering ditekan terutama ketika kenderaan
bergerak menuruni jalan yang curam.
Membrek terlalu kerap seperti menuruni Genting Highlands boleh
menyebabkan gelendong dan minyak brek panas. Dengan demikian,
minyak brek akan mengewap dan untuk sementara waktu, gelembung wap itu tertinggal dalam saluran minyak brek.
Gelembung wap dalam saluran itu mengganggu kelancaran penyaluran
minyak ke silinder brek pada roda.
Jika berdepan keadaan begini, segera hentikan kenderaan dan sejukkan
roda serta gelendong breknya. Ini dapat dilakukan dengan menyiram roda
dengan air atau menghembus angin pada gelendong dan paip brek.
Sebaik-baiknya, pemandu perlu segera menyedari apabila brek tidak berfungsi dengan baik. Tindakan pertama yang harus dilakukan adalah memijak injak brek berulang-ulang.
Kegagalan brek boleh menjadi petaka yang amat tidak diingini. Jadi,
selalulah pastikan brek sentiasa dalam keadaan baik dengan sentiasa
membuat pemeriksaan secara teratur.
No comments:
Post a Comment