Photobucket

Thursday, July 14, 2011

2011 tahun gemilang untuk Proton, Perodua di tempat kedua??!!


Menurut laporan dari CBT, jualan kenderaan Proton sehingga Mei 2011 sangat memuaskan, di mana Proton mencatatkan jualan sebanyak 72,211 unit keseluruhan, menerajui pasaran apabila mengatasi Perodua dengan kelebihan 1,614 unit. Masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian tetapi persoalannya adakah tahun 2011 ini bakal menjadi tahun gemilang buat Proton?

Perodua Myvi 2011 baru saja dilancarkan pada pertengahan Jun yang lalu dan dikatakan model itu akan mengembalikan zaman kegemilangan Perodua, seperti mana yang direkodkan sejak tahun 2005 – 2010. Untuk bersikap jujur dan ini hanyalah pandangan peribadi semata-mata, saya lihat agak sukar untuk Perodua Myvi 2011 mengulangi kejayaan generasi terdahulu.

Sifirnya adalah mudah, Perodua Myvi 2011 bersaiz lebih kecil, ruang simpanan barang-barang dibonet belakang agak sempit berbanding model sebelumnya, selain harga yang agak kurang munasabah dengan apa yang ditawarkan. Perodua mungkin mempunyai alasan tersendiri mengapa harga Myvi 2011 mengalami peningkatan, antaranya pelbagai teknologi baru telah diaplikasikan untuk model itu, selain bencana tsunami di Jepun yang memberikan impak kenaikan harga peralatan dan komponen yang diimport dari sana.

Tetapi alasan-alasan tersebut tidak menepati selera rakyat Malaysia, mereka hanya mahukan sebuah kereta yang selesa untuk kegunaan keluarga dan individu, dengan harga yang berpatutan. Teknologi dan ciri-ciri keselamatan masih lagi bukan pilihan utama, cukup sekadar dengan apa yang mereka mampu bayar. Lebih dari itu mereka mempunyai pilihan lain yang lebih baik, mungkin dari jenama T, H, S, F, mahupun Proton sendiri. Agak mengejutkan sebuah model kompak seperti Myvi dikecilkan saiznya dengan melibatkan ruang bonet, kemudian harganya dinaikkan ke tahap premium, Perodua nampaknya bersedia untuk berada di kedudukan kedua, mungkin.

Saingan dari Proton tidak boleh diperkecilkan lagi untuk tahun 2011 ini. Pengenalan Saga FL sudah cukup membuktikan bahawa mereka serius untuk merampas kedudukan nombor 1. Kemunculan Saga FL 1.6 Executive secara mendadak itu mengejutkan, Proton sengaja melakukannya dan membuatkan kebanyakan rakyat Malaysia dalam keadaan dilema buat pertama kali, Myvi 2011 atau Saga FL 1.6. Proton Exora Turbo juga bakal menjengah pasaran tidak lama lagi, mampu membunuh pasaran MPV sederhana lain, seterusnya meningkatkan lagi jumlah jualan keseluruhan Proton.

Terbaru bagi merancakkan jualan dan mengekang pengaruh Myvi 2011 yang dirasakan agak perlahan ketika ini, semua model terbaru Proton akan dilengkapi kotak gear CVT, selain versi manual dikhabarkan bakal menerima kotak gear terbaru dari ZF. Kotak gear CVT dimaklumkan akan dibekalkan oleh Punch Transmission dan akan dilengkapi teknologi sport kawalan manumatic (plus/minus). Pilihan terbaik yang sukar dikalahkan oleh pesaingnya, namun perlu berasaskan harga yang munasabah. Saya percaya Proton sudah begitu arif berkenaan strategi pemasarannya selama ini.

Proton sudah berada dilandasan terbaik pada tahun 2011 ini, hadir dengan pelbagai kelebihan pada setiap modelnya, memberi saingan sengit kepada Perodua buat pertama kali. Apa yang berlaku terhadap Perodua ada rahmatnya untuk Proton? Ada kebenarannya, dalam bisnes kita bukan saja perlu menawarkan produk yang bagus, tetapi juga perlu mengharapkan pesaing kita kadangkala tertinggal dalam persaingan, Proton pernah melaluinya dulu.

Baik Proton atau Perodua, kedua-dua syarikat automotif tempatan itu masih bersaing hebat dalam menonjolkan kelebihan produk masing-masing. Proton kelihatan selangkah di depan, namun tempoh enam bulan lagi menjadi garis pemisah muktamad antara kedua-duanya. Anda setuju tahun 2011 merupakan tahun gemilang buat Proton untuk berada di kedudukan nombor 1?

3 comments:

Unknown said...

hmmm...myvi baru...LAGI X BEST ....

Unknown said...

mai layan .Blue devil.http://gilamodified.blogspot.com/2011/07/blue-devil.html

irbas said...

ok...layan