Photobucket

Tuesday, December 16, 2008

Jangan Tinggal Solat -Jom baca



Jangan Tinggal Solat


Rashid
melipat sejadah. Dia baru saja menunaikan solat Asar berimamkan bapa
mertuanya, Haji Sarip. Sudah tiga hari dia bercuti di kampung. Esok dia
harus memulakan tugas seperti biasa. Setelah bersalaman dengan ibu dan
bapa mertua. Rashid dan isterinya, Zakiah meminta diri untuk pulang.


Tidak lama kemudian, kereta Wira Aeroback yang dipandu meluncur di
jalan raya. Perjalanan dijadualkan akan mengambil masa lebih 2
jam..Bersama dengan isteri yang dikahwininya dua tahun yang lalu.
Mungkin belum rezeki, mereka belum dikurniakan cahaya mata.


Rashid tidak memikirkan sangat soal zuriat kerana perkahwinan mereka
masih muda. Lagipun mereka berdua sama-sama bekerja. Cadangnya setelah
ekonomi mereka kukuh sedikit, barulah merancang untuk menerima cahaya
mata.

Hampir sejam berlau, Rashid membelok memasuki lebuhraya.
Bahang matahari sudah mengendur. Keremangan petang membuatkan cuaca
lebih nyaman. Ketika mengerling ke wajah isterinya, Rashid tersenyum.
Zakiah sudah terlena.
Rashid menghidupkan radio. Mendengar lagu
untuk mengatasi perasaan mengantuk. Ketika jam menunjukkan pukul 7:30
malam, Zakiah membuka mata.
Dilirik wajah suaminya sepintas lalu.
Sudah masuk waktu Maghrib. Kalau tidak dingatkan, pasti suaminya tidak
akan berhenti untuk menunaikan solat Maghrib.

"Dah Maghrib, bang. Berhenti sekejap." Wajah Rashid kelihatan keruh.

Membayangkan perasaan kurang senang mendengar permintaan isterinya.
Zakiah sedia maklum. Suaminya bukan sembahyang sepanjang waktu. Hanya
di depan kedua orang tuanya. Malahan di depan orang tuanya sendiri,
Rashid tidak pernah sembahyang. Zakiah kesal dengan sikap suaminya,
sudah puas dia memberikan nasihat tetapi langsung tidak mempan.


Beberapa kilometer kemudian, Rashid membelok masuk ke tempat rehat.
Zakiah kurang yakin suaminya akan turut sama menunaikan solat Mahgrib.
Selalunya Rashid lebih rela menunggu di dalam kereta Atau membasahkan
tekak di medan selera. Tempat rehat kelihatan sesak dengan kenderaan.

Rashid tidak menemui ruang untuk memarkir kereta. Dia Menghentikan kereta,
meminta Zakiah turun.

"Abang tak turun sekali?" tanya Zakiah penuh harapan.

"Kiah pergilah... abang tunggu kat sini. Tak ada parking," jawab Rashid
mudah. Sepeninggalan Zakiah yang turun bersama beg berisi telekung,
Rashid memejamkan mata. Tempat parking masih penuh. Dia terlelap
seketika, terjaga semula sewaktu Zakiah membuka pintu kereta.
Perjalanan diteruskan.

"Abang tidur?" tegur Zakiah.
"Ha... terlelap sekejap. Letih rasa badan ni."
"Kalau abang letih, biar Kiah bawak."

"Tak apa... kalau tak tahan sangat Kiah bawaklah nanti." Zakiah tidak
membantah. Lagipun dia sendiri terasa penat. Hujan mulai turun
membasahi jalan. Rashid memperlahankan kereta. Memandu dalam keadaan
jalan licin mengundang risiko. Namun malang tidak berbau. Rashid sudah
berhati-hati tetapi ada pemandu lain yang kurang memikirkan keselamatan
diri dan orang lain. Secara tiba-tiba Rashid merasakan sesuatu merempuh
bahagian belakang keretanya. Dentuman yang amat kuat kedengaran.
Serentak dengan itu kereta yang dipandunya melambung sebelum menghempas
jalan dengan bahagian atas ke bawah.

Apabila sudah menyedari
apa yang sebenarnya berlaku, Rashid berusaha keluar. Namun kakinya
tersepit sedangkan Zakiah di sebelahnya tidak sedarkan diri.


"Ya Allah... selamatkan kami... " bisiknya perlahan. Terasa mukanya
basah, darah merah mengalir. Orang ramai datang membantu. Mengeluarkan
Zakiah terlebih dulu. Kemudian giliran Rashid tetapi usaha mereka gagal
kerana kaki Rashid tersepit.
"Tersepit... tak boleh tarik... Kena
tunggu bantuan. Kita bawa dulu yang perempuan ke hospital." Rashid
berdoa dan berdoa tanya henti agar Allah S.W.T menyelamatkan Zakiah dan
dirinya.

"Bertahan, encik. Kami sudah memanggil bomba!"
Anehnya Rashid tidak merasakan kesakitan yang sewajarnya. Boleh
dikatakan kakinya tidak terasa dihimpit oleh sesuatu. Namun dia gagal
untuk menggerakkannya.

"Tolong saya, encik... " pinta Rashid dengan nada sayu.
"Mengucap... cik... berdoa kepada Allah... cik akan selamat."

"Sabar encik... tak lama lagi pasukan penyelamat akan sampai."
Kata-kata memberi semangat silih berganti menusuk telinganya.Dengan
keremangan malam, Rashid melihat begitu ramai yang mahu
membantu.Syukur. Pandangannya tertunpu pada seorang lelaki yang memakai
jubah serba putih. Berserban dan berjanggut lebat. Kelihatan mulutnya
terkumat-kamit sambil tangannya memegang tasbih.
"Ya Allah... selamatkanlah aku... "


Bunyi siren agak melegakan Rashid. Bantuan sudah tiba.Pasukan bomba
dengan tangkas mengeluarkan alat kelengkapan untuk mebebaskan Rashid
dari himpitan. Beberapa minit berlalu, kemudian suasana menjadi sunyi
apabila salah seorang anggota bomba bersuara.

"Kakinya tak tersepit
apa-apa. Pelik... kenapa tak boleh keluar?" Usaha untuk mengeluarkan
Rashid terhenti. Semua yang ada di situ kebingungan. Mereka tidak mampu
menarik Rashid keluar, sedangkan tidak ada apa-apa yang menghimpitnya.


Rashid sendiri kebingungan. Bencana apa yang sedang menimpanya. "Ini
bukan kerja manusia macam kita... kena panggil orang yang tahu... "

terdengar sebuat pendapat. Rashid semakin gementar. Doanya tidak
putus-putus. Ketika mulutnya terkumat-kamit berdoa, tiba-tiba dia
merasakan seseorang berjongkok di sebelahnya. Rashid berpaling, agak
tersentak melihat lelaki berjubah tadi berada di sebelahnya.

"Tuan... tolong saya tuan... "
"Saya tak boleh menolong, Yang Berkuasa hanyalah Allah Taala... "
"Saya tak berhenti berdoa, tuan. Tolonglah saya, tuan... "

"Kamu berdoa kepada siapa?" Rashid terdiam. Aneh bunyi pertanyaan
lelaki itu. Dalam keadaan cemas begitu, Rashid merasakan bukan
tempatnya untuk bergurau. Apatah lagi lelaki itu kelihatan seperti
orang alim.
"Sudah tentulah pada Allah."
"Tetapi Allah bukanlah Tuhan kamu!"


Rashid tidak mampu hendak menggerakkan sebarang anggota. Kalau tidak,
sudah pasti dia akan mengerjakan lelaki itu. Nampak saja alim, tetapi
bercakap seperti orang yang tidak berilmu.

"Bukankah selama
ini kamu tak pernah menyembah Allah. Kamu hanya mendirikan sembahyang
di depan mentua kamu. Sedangkan di belakang mereka, kamu tidak pernah
ingat pada Allah. Tidakkah kamu malu meminta pertolongan dari Allah.

Kenapa kamu tidak meminta pertolongan dari mentua kamu!" Tenggorok
Rashid terasa amat kering. Dia ingin bersuara, memohon ampun atas
kesilapannya selama ini, tetapi tidak ada suara yang keluar.


Lelaki berjubah itu hanya tersenyum, kemudian bangun dan meninggalkan
Rashid. Rashid berusaha untuk memanggil, ingin memaklumkan bahawa dia
menyesal tetapi mulutnya tidak mampu lagi dibuka. Sedangkan kesakitan
mula terasa.Sesuatu yang amat berat menghimpit sehingga dia tidak mampu
bernafas. Rashid cuba meronta tetapi usahanya hanya sia-sia. Tidak lama
kemudian dia tidak sedarkan diri.

"Abang... bang! Abang!!"


Perlahan Rashid membuka mata. Wajah isterinya memenuhi pandangan.
Syukurlah isterinya selamat. Rashid memanjatkan kesyukuran di dalam
hati. Akhirnya mereka mampu keluar dari bencana.

"Sedapnya tidur... naik serak suara Kiah mengejutkan abang... "

Tidur? Rashid terpinga-pinga. Segera dia memandang sekeliling. Ya Allah!
Dia masih berada di tempat rehat.


"Kiah tunggu sekejap... abang nak solat Mahgrib!" kata Rashid sambil
terkocoh-kocoh membuka pintu kereta. Zakiah tercengang, senyuman
merekah di bibirnya.


Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.W.T bersabda :- "ALLAH
S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS
SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KE MASJID,
KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI KEPENTINGAN DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN
PADA WAKTU TENGAH MALAM".

No comments: